BERITA
Mail Instagram Pinterest RSS
JARINGAN
  • SEKRETARIAT PERKEPIS

    No 1193 Tingkat 1, Jalan Mengris, Taman Sri Wangi, 93050 Kuching Sarawak.

    No. Tel/Faks: 082-442167

    Mengenai PERKEPIS

    Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) adalah badan induk pelajar dan mahasiswa Islam Sarawak di peringkat Negeri Sarawak yang berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada tahun 2005 dengan no pendaftaran 1016-05-15. PERKEPIS yang ditubuhkan pada tahun 1997 merupakan Ahli Badan Gabungan Negeri Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

    Mail Instagram Pinterest RSS
PERKEPIS

GEJALA GANGSTERISME DALAM KALANGAN PEMUDA : SALAH LAKU SECARA “BERPERSATUAN”

Negara Malaysia merupakan Negara yang menjunjung keamanan dan keharmonian sebagai teras kenegaraan bagi mencapai taraf Negara maju dan berdaya saing,dalam kita berusaha mengekalkan keharmonian sedia ada,terdapat beberapa gejala yang secara tidak langsung menjejaskan usaha tersebut dalam konteks norma masyarakat dan keharmonian sosial,antaranya ialah gejala gangsterisme.Hampir seringkali akhbar arus perdana melaporkan mengenai perlakuan gangsterisme dimana pemuda merupakan tunjang bagi gejala negatif berkenaan.Perlakuan seakan-akan jaguh dan suka menunjuk kekuatan dan mencabar antara satu sama lain,tidak ketinggalan kegiatan memeras ugut dan melakukan konfrontasi secara mental dan fizikal dengan pihak-pihak yang lemah.Kegiatan ini sudah tentu tidak akan dilakukan secara berseorangan,ianya dilakukan secara berkumpulan,kerana setiap kali mereka berada dalam suatu perkumpulan maka mereka akan merasakan mereka begitu gagah dihadapan orang lain slogan-slogan retorik membakar kejantanan mereka seperti “anak jantan pantang dicabar!!”. “Persatuan” salah laku ini memperlihatkan ketidakmatangan segelintir orang muda kita dalam dalam rencah kehidupan.

Gangsterisme adalah suatu perbuatan salah laku yang sudah lama wujud dan masih berterusan sehingga kini.Keadaan lebih merumitkan apabila kegiatan ini turut dipelopori oleh remaja perempuan dan juga kanak-kanak. Apa yang dapat diperlihatkan masa kini,gangsterisme ini adalah tingkah laku yang melanggar norma dan batasan undang-undang atau berkelakuan yang tidak boleh diterima oleh sosial.  Menurut Thrasher (1963) yang merupakan pelopor awal tentang kajian gangsterisme mengutarakan bahawa pada awal remaja golongan ini berkemampuan untuk mewujudkan gang ataupun persatuan. Golongan remaja ini mudah terdedah dengan keadaan persekitaran dengan syarat mereka dapat memperolehi keseronokan dalam kumpulan mereka. Thrasher (1961) juga mendefinisikan gang sebagai satu persatuan yang mempunyai ciri -ciri seperti mengikut tingkahlaku yang sama, perjumpaan secara bersemuka, gerakan secara berunit, konflik dan mempunyai perancangan. Thraser (1963) menyatakan bahawa kewujudan gangster adalah hasil daripada perkembangan sesuatu kumpulan rakan sepermainan juvenil yang bertukar kepada perlakuan devian(perkumpulan samseng). Secara evolusi kumpulan ini menjadi satu kumpulan gangster yang seringkali melakukan tindakan-tindakan ganas yang bercorak anti sosial. Ikatan yang pada mulanya tidak sehaluan bertukar menjadi lebih erat,kerana telah teruji “kredibiliti” mereka sebagai samseng yang melakukan aktiviti jenayah berisiko seperti bergaduh dan beberapa jenayah keganasan yang lain ditambah semangat setia kawan atau kukuh serta mengamalkan tradisi kumpulan. Menurut statistik yang telah dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada tahun 2008 seramai 8,809 pelajar berusia antara 7 dan 18 tahun ditahan di seluruh negara kerana terlibat dalam kes-kes jenayah. Daripada jumlah itu, 3,683 terlibat dalam jenayah kekerasan(Violence Crime) manakala selebihnya jenayah harta benda.Menurut statistik berkenaan, remaja berusia 16 hingga 18 tahun mendahului senarai dengan 6,435 tangkapan, diikuti pelajar berusia 13 hingga 15 tahun (2,227 tangkapan). Tidak kurang hebatnya, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun turut termasuk dalam senarai itu dengan 147 tangkapan. Pelajar daripada kaum Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 72.7 peratus atau 6,401 orang diikuti India (10 peratus atau 876 orang) dan Cina (7.3 peratus atau 641 orang).Faktor yang dipercayai kenapa gejala ini tercetus dan menjadi trend seluruh dunia masih samar dan telah digaris pandukan beberapa faktor seperti media,rakan sebaya,dan keadaan setempat namun dengan pendapat Bodinger-de-Uriarte (1993),yang mendapati faktor untuk mendapatkan kuasa dan status merupakan penyebab utama para remaja menyertai gangster jalanan di Amerika Syarikat yang Majoriti daripada gangster tersebut merupakan gang lelaki dan ahli-ahli terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang etnik yang sama sedikit sebanyak boleh dijadikan sebab yang kukuh kenapa gejala ini wujud kemudian ianya menjadi trend seluruh dunia.

Gangsterisme Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Di Malaysia

Sejak kebelakangan ini terdapat suara-suara yang mula mempersoalkan tentang penglibatan generasi muda dalam aktiviti -aktiviti sosial yang boleh merosakkan keutuhan struktur masyarakat di negara ini. Fenomena ini telah menunjukkan bertambah kejadian yang tidak masuk akal sebagai contoh membakar bilik guru, vandalisme, memeras ugut, penagihan dadah. Apa yang membimbangkan ialah, mengenai  terdapatnya hasil satu kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan pada tahun 1999. Laporan kajian ini yang diumumkan tidak lama dahulu menjelaskan tentang penularan gengsterisme yang semakin berleluasa di sekolah -sekolah menengah seluruh negara sekarang. Fakta kajian menunjukkan satu pertiga dari 1560 buah sekolah menengah di Malaysia adalah berisiko tinggi dan terdedah kepada berbagai -bagai pertubuhan salah laku.Dan yang paling membimbangkan,sekolah-sekolah menengah agama yang selama ini menjadi dakapan masyarakat untuk melahirkan generasi yang berwibawa tidak terlepas dengan gejala ini.Beberapa kes-Kes yang diketengahkan mengenai Kegiatan gengsterisme yang melibatkan memukul pelajar “meletup‟ pada tahun 2003 dengan menunjukkan banyak kes terjadi di sekolah.Di antara rentetan kejadian itu ialah kes di mana ,8 orang pelajar tingkatan 5 dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah dibuang sekolah termasuk 2 orang yang telah mengugut warden dengan menggunakan parang.Seramai 20 orang pelajar dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR) telah dibuang sekolah kerana terlibat dengan kegiatan gengsterisme melalui kumpulan yang dikenali sebagai “The High Council” dimana ahli bertemu secara rahsia dalam waktu yang singkat di sebelah pagi untuk melakukan kegiatan membuli pelajar junior dan penderaan psikologikal.Di Sekolah Menengah St. David, Bukit Baru, Melaka lebih kurang 20 orang pelajar bergaduh di kantin sekolah dan memukul sesama sendiri menggunakan kerusi.  Salah seorang daripada mereka telah mengalami kecederaan di dahi dan menerima rawatan di hospital.Sementara polis telah menahan  9 orang pelajar berusia 16 dan 17 tahun selama 2 hari untuk
membantu siasatan pihak polis. Gejala ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati di antara kumpulan pelajar kerana isu seperti balas dendam, hendak menunjukkan kuasa kumpulan yang hebat, membuli pelajar junior dan juga kerana aduan perbuatan salah laku kumpulan ini kepada pihak berwajib. Perlu difahami bahawa kesemua jenayah ini dilakukan secara “berpersatuan”.


Peranan Organisasi Islam.

Persatuan Pelajar dan lain-lain organisasi Islam mahupun badan bukan kerajaan yang bersifat islami sangat diperlukan bagi memainkan peranan untuk berkerjasama dengan Institusi awam seperti Polis,dan pihak sekolah bagi membincangkan hal ini secara serius,serta menyatakan beberapa konklusi dan konsensus secara bersama ,kerana gejala ini adalah gejala yang serius,ianya berlaku mungkin kerana keinginan untuk berpersatuan (Society Desire) yang sememangnya wujud secara individual dalam kalangan setiap anak muda,seluruh dunia jelas bahawa setiap Organisasi islam yang wujud mempunyai matlamat yang murni untuk anak muda berbakti di bawah naungan organisasi tersebut tetapi rata-rata anak muda kita masih memilih untuk menjadikan “persatuan“ Kongsi Gelap sebagai wadah “pelaburan” mereka.Melihat kepada realiti ini organisasi Islam yang wujud harus menyediakan wadah program yang khas bagi  memperlihatkan kewujudan mereka di mata orang muda yang sedang berpeleseran di jalanan dan berinteraksi secara tidak formal dengan mereka sebelum mereka terjebak dengan gejala ini serta gejala negatif yang lain dan mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai permasalahan mereka sekaligus membawa permasalahan mereka ke perbincangan di peringkat awam serta dilakukan kajian terperinci mengenai gejala ini menerusi pandangan amal islami.Dari sini perlu dilihat keperluan dakwah lapangan sebagai satu kaedah dakwah yang mesti ditekankan sebagai agenda utama dalam mana-mana organisasi islam.Kebanyakan Pimpinan (Qiadah) mahupun barisan ahli (Jundiyyah) dilatih dalam keadaan suatu yang selesa atau dilatih dalam bentuk teori semata-mata,sedangkan dakwah itu bukan sahaja perlu diuji dari sudut keilmuan semata-mata,bahkan ianya harus diuji dengan ketahanan samada dari aspek mental dan fizikal dengan kesediaan untuk turun ke lapangan bagi menzahirkan interaksi dakwah yang praktikal kepada anak-anak muda yang berpeleseran di jalanana .Sudah menjadi suatu Keperluan bagi setiap Organisasi Islam untuk menyediakan unit aktivis dakwah yang bertindak khusus untuk ke lorong-lorong dan ke lapangan bagi melaksanakan misi Amar ma’ruf nahi Mungkar.Banyak para pendukung organisasi masyarakat yang apabila ditanya kenapa mereka tidak mahu terlibat menangani permasalahan masyarakat khususnya gejala gangsterisme dan mungkar; maka mereka akan menjawab bahawa mereka ; “tidak tahu, tak pernah buat, tak ada kepakaran, bukan bidang mereka, tak ada kuasa, tak tahu nak mula dan sebagainya” jawapan-jawapan seperti tadi memperlihatkan virus “aku tidak pedulisme” menyerang pendukung Organisasi Islam . Walhal proses ini tidaklah serumit yang mereka bayangkan. Umpamanya ada TIGA syarat yang ramai orang menyedarinya tetapi oleh kerana telah tertanam sekian lama banyak sikap suka mencari alasan untuk tidak berbuat dan sentiasa berfikiran negatif maka syarat-syarat berikut menjadi terlalu sukar untuk mereka penuhi;

1.Organisasi masyarakat mesti melihat keberkaitan di antara apa yang berlaku kepada masyarakat dengan kewujudan organisasi mereka;

Untuk apa organisasi masyarakat itu diwujudkan seperti masjid, surau, jawatankuasa penduduk dan sebagainya; memenuhi keperluan ahli masyarakat atau kepentingan pemimpin atau untuk siapa?Sesebuah organisasi yang mendakwa bahawa mereka memperjuangkan nasib masyarakat tidak layak berbuat sedemikian jika apa yang berlaku di dalam masyarakat hanya ditontoni dan disunggutkan.Yang dikatakan keberkaitan itu ialah apabila sesebuah organisasi itu bersama-sama dengan masyarakat di waktu suka-duka, senyum-tangis dan gembira-sedih.

 2.Organisasi itu mesti bersedia untuk menilai serta merubah beberapa justifikasi dan pendekatan mereka.

Ini sangat perlu dilakukan kerana dengan segala macam ungkapan dan diskusi tidak akan bermakna apa-apa jika perspektif dan tindakan tidak ada sebarang hala tuju.Mesti ada keberanian untuk melihat apa yang telah dilakukan selama ini.Adakah ia masih ditakuk lama lalu ia perlu diubah agar menjadi lebih dinamik dan relevan dengan masyarakat.Relevan itu sendiri mempunyai erti dan makna yang sangat praktik dan realistik.

 3.Organisasi itu mestilah bersedia untuk belajar dan membina jaringan dengan kelompok-kelompok lain terutama dalam komuniti setempat.

Sudah banyak yang disebut bahawa nama-nama organisasi sukarela tidak boleh lagi berada di dalam kelompoknya sahaja umpama berlari dalam bulatan.Ini kerana kelompok yang dimaksudkan itu sudah usang dan serba ketinggalan. Ia mesti bersedia untuk melihat di luar sana dan belajar dari sesiapapun baik individu mahupun kumpulan.Tidak terbatas juga kesediaan untuk belajar dari golongan yang lebih rendah keupayaan dan golongan sering pula dipinggirkan dari aliran arus perdana.
Dengan memainkan peranan yang komprehensif dalam masyarakat,gejala gangsterisme ini dapat ditangani dengan baik kerana kewujudan Organisasi Islam yang sanggup turun ke lapangan untuk bersama-sama dengan golongan muda yang berpeleseran,sekaligus tidak menolak kemungkinan bahawa usaha ini membuka perspektif baru dalam kalangan golongan muda yang tercari-cari platform mereka untuk beraktivisme sesama rakan sebaya kerana adanya organisasi islam yang memperlihatkan kewujudan mereka sebagai platform untuk golongan muda beraktivisme dengan aktiviti yang positif.

Mencontohi Streetsafe Boston Foundation

Organisasi Streetsafe Boston ini boleh dikatakan antara organisasi bukan islam yang harus dijadikan contoh dalam menangani jenayah keganasan seperti gangsterisme.StreetSafe Boston adalah organisasi pembangunan Belia yang khas dimana matlamatnya untuk mewujudkan suatu inisiatif kesedaran dalam kalangan komuniti bagi membantu mengurangkan kadar jenayah keganasan dalam kalangan belia secara aktif.Dengan menggunakan kaedah The Ripple effect theory suatu kaedah dimana sebilangan kecil anak muda memainkan peranan untuk mengawal jenayah keganasan jalanan dengan mendekati masyarakat jalanan melalui khidmat masyarakat dan program-program kesedaran komuniti.Dengan cara mewujudkan akses “proven risk population” iaitu populasi komuniti yang paling banyak kes jenayah dilaporkan secara statistik kepada langkah pro sosial yang berpartisipasi dalam mengurangkan tarikan terhadap sebarang bentuk jenayah keganasan dalam kalangan belia,ataupun dalam erti kata lain konsep “from zero to hero” dimana konsep ini sekumpulan para belia yang pernah terlibat dengan jenayah keganasan kemudiannya dilatih untuk menjadi aktivis yang penuh integriti serta pengetahuan dan dilengkapi kemahiran perhubungan turun ke jalanan masing-masing bagi memudahkan mesej-mesej kesedaran disampaikan melalui mereka kepada ahli-ahli kumpulan keganasan yang berkuasa di jalanan mereka.Dengan pendekatan sebegini ianya secara tidak langsung ianya dapat mewujudkan suatu atmosfera komuniti yang positif kerana mesej yang disampaikan itu adalah mesej kesedaran  dari aktivis yang mana pernah menjadi ahli gang atau terlibat dengan kegiatan kumpulan samseng tersebut,sudah tentu ianya mesej yang bersifat sentimental kerana disampaikan oleh bekas ahli gang itu sendiri kepada ahli gang yang lain kerana langkah sebegini mampu memperlihatkan bahawa masih ada lagi ruang-ruang kesedaran untuk mewujudkan komuniti yang lebih sihat dan bebas dari jenayah keganasan.Dan antara program yang dirangka oleh organisasi yang berpusat di Amerika Syarikat ini ialah kempen “Boston Night Tour” dimana kempen ini diadakan pada waktu malam di sekitar jalanan Boston di mana waktu ini kebanyakan kumpulan samseng aktif melakukan kegiatan mereka dan ramai belia yang terlibat, latihan-latihan yang diberikan kepada aktivisnya dari segi mental dan fizikal sangat tersusun seperti kelas berdebat,kelas komunikasi penyampaian,kelas menembak dan kelas seni mempertahankan diri Wing chun secara tidak langsung mampu dijadikan bekalan persediaan untuk mereka berhadapan dengan samseng-samseng ganas di jalanan bagi menyampaikan mesej kesedaran .

Sebagai penggerak masyarakat kita perlu bersikap prihatin dan  memberi perhatian kepada anak muda agar tidak terjebak dengan gejala negatif ini. Sikap peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling dengan bersikap proaktif terhadap gejala gangsterisme yang berlaku di kawasan setempat amat dituntut. Selain memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak gangsterisme kepada ahli-ahli masyarakat yang lain terutamanya para pemuda.Dalam konteks amal islami, Apabila sesebuah perjuangan dakwah itu gagal dikemudikan  dengan bijak oleh penerajunya mengikut situasi dan kondisi yang berkembang pada zaman ini, maka akan berlaku kejanggalan dan kebejatan dalam mengharungi gelombang yang beralun. Ini bukan bermakna perjuangan dakwah lapangan itu harus mengubahsuai  mengikut kehendak arus tetapi dari segi taktik dan strategi ia perlu bersilat dengan geraklangkah yang mengena dan perancangan yang menepati sasaran dan kemudiannya berakhir dengan penyudah yang dihajati.


0 comments: